Paling Popular Minggu Ini

Tuesday, January 25, 2011

Azraai dirisik Kelantan



Bekas jurulatih Harimau Muda dan Kedah, Azraai Khor Abdullah memberitahu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa ada bertanya kepadanya sama ada berminat memikul tanggungjawab sebagai jurulatih Kelantan pada musim ini.

Menurutnya, menerusi perbualan telefon, Annuar ada bertanyakan sama ada dia berminat mengendalikan skuad Kelantan pada musim hadapan sekiranya B. Sathianathan kekal digantung selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

''Tan Sri (Annuar Musa) ada hubungi saya pada petang tadi (semalam), dia ada tanya pada saya berminat atau tidak melatih Kelantan jika diberikan peluang.

''Terus-terang saya berkata InsyaAllah, saya bersedia dan tiada sebarang masalah jika Tan Sri mahu saya melatih Kelantan. Saya memang berminat.

''Namun, setakat itu sahaja perbualan kami dan tiada sebarang perbincangan hitam putih di antara kami mengenai perkara lain.

''Tan Sri pun sendiri ada cakap buat masa ini mereka (KAFA) sedang meneliti bentuk hukuman yang dijatuhkan oleh FAM kepada Sathia sebelum membuat apa-apa keputusan, "katanya ketika dihubungi, semalam.

Azraai dilihat satu-satunya calon berkaliber untuk menggantikan Sathianathan selepas tidak lagi mengendalikan mana-mana pasukan ekoran dilepaskan secara kontrak oleh FAM ketika membimbing skuad Harimau Muda.

Sekiranya dia menjadi jurulatih Kelantan, ia akan menjadi pasukan negeri pertama yang akan dibimbing oleh Azraai di luar Kedah.

Sathianathan terpaksa menjalani hukuman enam bulan bermula semalam sehingga 23 Julai depan ekoran keputusan Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan hukuman yang dijatuhkan Jawatankuasa Disiplin.

Kelantan perlu segera mencari seorang jurulatih yang mempunyai lesen A sebelum sepak mula berdepan Selangor dalam aksi Sumbangsih di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Namun, Azraai menjelaskan masih terdapat sedikit halangan buat Kelantan jika mahu mendapatkan khidmatnya ekoran masih mempunyai kontrak melatih Harimau Muda sehingga hujung tahun ini bersama FAM .

''Saya harap KAFA boleh berunding mengenai masalah kontrak saya dengan FAM untuk mendapatkan pelepasan.

''Buat masa ini, sukar untuk saya perkatakan perkara itu (kontrak) lebih lanjut, saya cuma harap jika Kelantan mahukan khidmat saya, FAM tiada sebarang masalah memberi kelonggaran, '' ujarnya.

sumber utusan malaysia

Artikel Blog Lain