Paling Popular Minggu Ini

Wednesday, December 28, 2011

Artis-artis yang berubah dan tampil dengan imej Islamik

1 - Ustaz Akhil Hayy

Akhil Hayy Rawa atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hayy adalah seorang pendakwah bebas dan penyanyi di Malaysia. Beliau berketurunan Rawa dan dilahirkan di Gopeng, Negeri Perak. Sebagai seorang pendakwah, beliau lebih dikenali sebagai Ustaz Akhil. Semasa zaman remaja, Ustaz Akhil merupakan salah seorang anggota kumpulan rock di Malaysia iaitu D'Riyadh.

Namun begitu, takdir Ilahi menentukan Ustaz Akhil akhirnya meninggalkan kehidupan sebagai seorang pemuzik rock. Kini, beliau lebih dikenali dengan lagu-lagu nasyid dan ceramah agama yang disampaikan di seluruh negara. Ustaz Akhil turut diberi gelaran 'Ustaz Rock' kerana penglibatan beliau dalam arena muzik rock suatu ketika dahulu.




2 - Azmil Mustafa


Azmil Mustafa adalah seorang pelakon Melayu lelaki yang menjadi fenomena pada lewat tahun 80-an. Antara filem-filem yang yang melonjakkan nama beliau seperti Ali Setan (1985) dan Ali Setan 2. Filem-filem lain beliau seperti Mekanik (1983), Iman Alone (1998), Fifty/Fifty (1991).

Namun kini beliau telah bersara dari dunia lakonan dan lebih menumpukan hidup beliau dengan memberi ceramah-ceramah agama.

"Semuanya kerana Allah. Ia jadi sekelip mata. Saya suka buat perbandingan macam main bola sepak. Main bola sepak ni, 90 minit. Tapi dalam seminit ketika masa tambahan itu, macam-macam boleh jadi. Keputusan boleh berubah daripada 0-0 kepada 1-0. Saya juga macam itu, dalam sekelip mata berubah.

Saya bermula dengan memuji Allah. Saya puji dengan ikhlas walaupun waktu itu saya jahil. Saya masih ingat, tahun 1979. Kebetulan masa itu saya masih jahil. Perkara pertama yang saya lakukan apabila sampai rumah, buka TV. Waktu itu saya baru balik dari pub, jadi apabila buka TV ada siaran terjemahan al-Quran dan doa tutup siaran. Masa itu saya perhati terjemahan tersebut dan saya rasa Allah hebat. Saya terus memuji Allah, tapi cakap Inggerislah (ketawa). Wow! Allah is 'great'! Macam-macam la keluar dari mulut saya.

Akhirnya, ia menjadi amalan saya. Setiap malam saya mesti tengok siaran tu. Kalau keluar malam pun, saya akan bergegas balik sebab nak kejar siaran itu."


3 - Noorkumalasari

Noor Kumalasari lahir pada tahun 1956 di Singapura. Beliau merupakan salah seorang pelakon dan penyanyi Malaysia yang terkenal pada 1970-an dan 1980-an.

Noorkumalasari merupakan anak kepada S. Roomai Noor dan Datin Hajjah Umi Kalthum. Beliau juga merupakan adik seayah Anita Sarawak.

Selain berlakon dan menyanyi, Noor juga turut mengacara, antaranya Anugerah Juara Lagu 1987.

"Sebenarnya saya tidak meletakkan sebarang target untuk berubah. Bila saya bercerai dan tiga tahun menjanda, sembahyang pun bukan semua waktu... Noor berdoa, kalau ada jodoh lagi Noor nak seorang suami yang dapat membantu Noor dekatkan diri dengan Allah.

"Alhamdulillah lepas 3 tahun jumpa suami sekarang... dia dulu moden juga... apa yang (saya) minta Allah makbul..." cerita NoorKumalasari kepada Damaitv.


4 - Aishah

Wan Aishah binti Wan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Aishah, merupakan penyanyi yang berasal dari Negeri Sembilan dan menganggotai kumpulan Fan Clubdari New Zealand.

Album nyanyian Aishah bersama Fan Club iaitu Sensation telah menaikkan namanya sebagai penyanyi wanita pertama Malaysia yang berjaya ke peringkat antarabangsa. Kumpulan itu popular dengan lagu-lagu seperti 'Call me' , 'Sensation' , 'Paradise' dan beberapa lagi.

Aishah telah berpecah dengan kumpulan Fan Club pada tahun 1992 dan seterusnya menjadi penyanyi solo.

Aishah telah berkahwin dengan Faizal Sazali Zulkifli pada 30hb April 2010. Pasangan ini telah bernikah di Narathiwat, Thailand.


5 - Mel (Wings)

Bekas vokalis kumpulan Wings, Mel atau nama sebenarnya Ismail Zainuddin, 45, mengakui selesa menjalani kehidupan sebagai pendakwah bebas selepas berundur sebagai penyanyi kira-kira sepuluh tahun lalu.

Selepas meninggalkan dunia nyanyian, Mel selesa dengan kehidupan hari ini iaitu berdakwah dan mengadakan ceramah di merata tempat. Selain itu, Mel juga aktif menyanyikan lagu-lagu berbentuk ketuhanan tetapi tidak lagi di pentas komersial.

Baru-baru ini Mel muncul dalam konsert Wings Opera Hidup Rockestra di Istana Budaya. Kata Mel, dia menyanyi di konsert tersebut semata-mata untuk memeriahkan konsert itu. Ia adalah tanda sokongan dan penghargaan kerana dia pernah bersama Wings satu waktu dulu. Namun kata Mel ia bukan bermakna saya ingin aktif kembali dalam bidang nyanyian. Dia selesa dengan kehidupan sekarang.

Bersama Wings, Mel sempat menghasilkan sebuah album iaitu Orang Asing (1995) yang menampilkan lagu-lagu popular seperti Lena Diulit Intan dan Semalam Yang Hangat. Selepas itu, Mel bergerak sebagai penyanyi solo dengan dua album Mencari Enigma Lagu (1996) dan Sukma’98 (1998), sebelum berundur diri untuk menumpukan perhatian pada bidang keagamaan. [mStar - 7 Mei 2011]


6 - Wardina

Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot lahir 5 Jun 1979 di Kuala Lumpur, ialah seorang pengacara TV, model dan pelakon. Beliau merupakan antara pelakon wanita bertudung litup pertama di Malaysia yang muncul dalam watak utama filem iaitu menerusi Lagi-Lagi Senario pada tahun 2001. Beliau memulakan kerjaya pengacaraan dan lakonan setelah aktif sebagai model dan bertanding dalam pertandingan akhir Dewi Remaja 1997/98 anjuran majalah Remaja.

Wardina mempunyai darah campuran Australia oleh bapanya dan Melayu Aceh di sebelah ibunya. Berketinggian 5 kaki 6 inci, beliau telah pun mendirikan rumahtangga bersama seorang arkitek Ikhwan Johari pada September 2002 dalam sebuah majlis yang mendapat liputan meluas media. Kini bahagia sebagai ibu kepada Amna Nafeesa, Azra Sareera dan Imran Arrazi.


7 - Ashraf Muslim

Ashraf Muslim lahir pada 19 September 1981, di Teluk Emas, Melaka. Beliau merupakan anak pertama dari 7 orang adik beradik.

Ashraf merupakan seorang pelakon yang pernah membintangi filem 'Aku Masih Dara', dan drama-drama tempatan seperti Impian Illyana, Manjalara, Impak Maksima, Puaka Niang Rapik, Ustaz Amirul dan beberapa lagi.

Beliau membuka satu klinik pengamal perubatan tradisional bersama Ustaz Lokman Abdul Hamid, iaitu Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah di Kampung Sungai Pusu, Gombak , Selangor. Ia adalah perubatan Islam yang berlandaskan al-Quran. Penawarnya melalui ayat-ayat suci yang dilafazkan kepada pesakit. Selama ini buat secara sambilan. Sekarang sudah ramai pesakit. Dia menjadi merupakan hos untuk rancangan perubatan, Syifa al Hidayah di Astro Oasis.

Selain itu Ashraf menternak 600 ekor kambing, ikan keli, ketam bercangkerang lembut atau keras dan lain-lain.


8 - Bob Lokman

Mohd Hakim Lokman atau lebih dikenali sebagai Bob Lokman berasal dari Kubang Krian, Kelantan. Lahir pada tahun 1964 dan kemudian bersekolah dan menetap di Selangor.

Beliau merupakan seorang penulis lirik, pencipta lagu, pengurus artis dan kumpulan muzik, pelawak dan juga pelakon. Pernah menjadi Penulis Lirik Terbaik di Anugerah Juara Lagu TV3 tahun 1989 bagi laguIsabella yang dinyanyikan oleh kumpulanSearch.

Beliau kini telah menyertai parti PAS dan bergiat aktif dalam kerja-kerja dakwah dan juga politik. Beliau juga masih tidak menolak jika ada tawaran berlakon, tetapi akan memilih watak yang sesuai dengan dirinya sekarang.

Bob merupakan cicit kepada ulama terkenal di Kelantan, Tok Kenali (1870 - 1933). Menurut beliau, kematian rakan seni secara mengejut membuatkan dirinya semakin mahu mendekati dan mentaati Allah.

“Sebelum ini saya kaya, pendapatan 30 ribu hingga 50 ribu sebulan hasil perniagaan tetapi kekayaan itu tidak memberi ketenangan dan ketenteraman kepada saya. Kemudian saya jatuh, kejatuhan pertama menjadikan saya lupa dunia,” akuinya jujur.

Kemudian beliau kembali dilimpahi kekayaan yang berganda namun kekayaan itu membuatkan isterinya lari dan dirinya mengalami masalah tulang belakang hingga lumpuh selama lapan bulan.

“Kekayaan waktu itu tidak menjamin kebahagiaan kepada saya hingga isteri lari dan saya mengalami lumpuh. Kejatuhan kali kedua ini membuatkan semangat saya bertambah kuat dan saya lebih mendekati Allah walaupun ketika itu pendapatan saya tidak ada langsung.

“Saya tahu semua itu adalah atas kehendak Allah, ada masanya dia beri dan ada masanya dia tarik, saya redha atas apa yang berlaku. Bagaimana pun saya tetap akan berusaha mencari rezeki yang bersesuaian dengan diri saya,” katanya.

“Saya tidak tahu bila akan mati tetapi dapat rasai umur tidak panjang kerana sudah dua kali sepatutnya mati akibat serangan jantung tetapi Allah masih memberi peluang, panjangkan umurkan saya.

“Saya mahu mati dalam Islam, tidak mahu mati dalam keadaan leka mencari wang”, ujarnya yang banyak membaca buku agama, mendengar ceramah dan mendekati golongan agama dan seterusnya menyertai jemaah kerana melalui cara itu beliau akan memperolehi apa yang dikehendaki selama ini.



9 - Iwan

Iwan dangdut sudah menjadi Iwan nasyid
Bagi peminat irama dangdut sekitar 90-an, nama Wan Syahman Wan Yunus, 50, atau lebih dikenali dengan panggilan Iwan Dangdut pastinya menjadi sebutan.

Ingat dangdut, ingat Iwan kerana anak seni kelahiran Aceh, Indonesia ini dikatakan pencetus kebangkitan irama dangdut di Malaysia.

Kejayaannya bersama Amalina membuka laluan kepada irama berkenaan seterusnya kepada kemunculan beberapa penyanyi dangdut seperti Sheeda, Mas Idayu dan Haiza.

Lagu-lagu yang dinyanyikan Iwan seperti Memori Daun Pisang dan Wulan masih diminati sehingga kini.

Namun, semua itu sudah lama ditinggalkan apabila Iwan sudah berhijrah dengan melakukan perubahan dari segi penampilan dan mendalami ilmu agama sejak dua tahun lalu.

Dia mula dengan menyertai tabligh sekitar 2009 diikuti mendalami ilmu agama bersama beberapa ustaz, tetapi cintanya kepada dunia nyanyian tidak pernah padam. [Harian Metro]


10 - Erma Fatima

Fatimah bt Rahmad atau lebih dikenali sebagai Erma Fatima adalah seorang pelakon, pengarah, penerbit filem, penerbit TV dan penulis di Malaysia.

Memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia menerusi "Hati Bukan Kristal" tahun 1990 dan "Femina" tahun 1994.Mula diperkenalkan menerusi filem "Rozana 87" yang diterbitkan pada tahun 1987.

Merupakan pelakon yang berkaliber dan konsisten terhadap setiap lakonan beliau. Filem pertama yang beliau arahkan ialah 'Perempuan Melayu Terakhir' lakonan Pelakon Wanita Terbaik FFM 20 Vanida Imran. Beliau juga mencipta sejarah apabila menerima anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Seoul, Korea Selatan.

Sekarang ini beliau masih lagi aktif berlakon dan mengarah drama serta filem. Arahan terakhir beliau setakat ini adalah filem 'Diva Popular' yang menggandingkan adiknya Umie Aida dan Penyanyi terkenal Ezlynn.



11 - Sham Kamikaze

Sham Kamikaze dapat hidayah
Shamril Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Sham Kamikaze adalah bekas pemain gitar utama kumpulan rock Kamikaze.

“Hati saya mula terbuka apabila Allah menemukan saya dengan Imam Satu Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais ketika saya merayau-rayau di utara.

“Orang kata, memang susah untuk orang biasa berjumpa imam besar itu. Sejak itulah, saya percaya ada hikmah tersembunyi yang ingin Allah berikan.

“Syukur saya akhirnya mendapat petunjuk daripada Allah. Sekurang-kurangnya, saya tidak lagi hanyut dengan pelbagai perkara yang melalaikan,” katanya.

“Saya akui, dulu saya jahil. Dengan penampilan memakai subang dan pakaian tidak sopan serta melakukan pelbagai perkara yang menyalahi agama.


12 - Catriona Ross

Catriona Noorhayati Bahrin Ross atau lebih dikenali sebagai Catriona Ross @ Cat, adalah seorang pelakon yang berkacukan Melayu dan Scottish.

Tentang pemakaian tudung, Cat berkata, semuanya bermula apabila dia menemani sahabat karibnya ke sebuah butik tudung di KLCC pada 14 Julai 2010.

Tergerak hatinya mencuba satu tudung dan ketika melihat wajah di cermin, tiba-tiba terbit satu perasaan pelik hingga bergenang air mata. Sepantas kilat ditanggalkan tudung itu.

Dia yang dihenyak perasaan pilu, hiba dan syahdu kemudian berpusing ke arah temannya seraya spontan meluahkan hasrat mahu memakai tudung. Luahan itu bagaimanapun mengundang tawa sahabatnya kerana menyangka dia bergurau.

“Ketika memandu pulang ke rumah, saya menangis. Sukar untuk jelaskan perasaan saya ketika itu. Sebak, syahdu, hiba, semuanya bercampur-baur. Saya sedar perasaan pelik yang muncul tiba-tiba itu adalah hidayah dari Allah. [Harian Metro]



13 - Sheila Rusly

Sheila Rusly merupakan pelakon komedi Malaysia yang popular dan pernah merangkul pelbagai anugerah. Sheila dilahirkan di Selayang pada 1970, memiliki darah campuran Melayu dan Cina. Dia mula bergiat aktif di persada seni sejak tahun 1986 ketika berusia 16 tahun.

Ketika awal kemunculan beliau, Sheila banyak berlakon di bawah arahan pelawak terkenal AR Badul. Bakat komedinya dicungkil AR Badul hingga menjadi pelawak wanita paling popular di Malaysia.

Di layar perak, Sheila diingati menerusi watak komedinya dalam filem MX3 yang menggandingkan beliau dengan pelawak Saiful Apek. Gandingan Sheila dan Saiful meledakkan panggung dan dikenang sebagai pasangan pelawak paling hebat dalam filem Melayu. Sheila juga mencuri tumpuan apabila bergandingan bersama Afdlin Shauki dalam filem Diva Popular.

Sheila kini aktif sebagai penerbit dan banyak menerbitkan drama-drama bermutu untuk siaran televisyen tempatan. Menerusi drama Sebuah Ijtihad, produksi Sheila berjaya merangkul anugerah Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2007.


14 - Seniwati Datuk Sarimah

Datuk Sarimah Ahmad lahir pada 28 April 1942 di Pulau Rusa, Pekan, Pahang, lebih dikenali sebagai Sarimah dan merupakan artis Malaysia yang terkenal dalam filem hitam putih Melayu era 1960-an dan 1970-an yang dicungkil bakatnya olehAllahyarham P. Ramlee.

Beliau diberi pengenalan umum melalui filem Ali Baba Bujang Lapok. Seorang yang cepat bersinar bintangnya. Diantara filem lain yang digandingkan bersama P.Ramlee ialah Ibu Mertuaku, Madu Tiga, Tiga Abdul, Kanchan Tirana dan Dr Rushdi.

Filem-filem lain lakonannya ialah Si Tanggang, Indera Bangsawan, Lubalang Daik, Neracha, Raja Bersiong, Ranjau Sepanjang Jalan, Warna-warna hati, Sepi itu indah, Momok the movie dan sebagainya lagi.

Merupakan Pelakon Wanita Terbaik menerusi Dia Ibuku pada Festival Filem Malaysia ke-2, 1981.


15 - Kumpulan Al Mawlid


Seterusnya manusia yang tersimbah hidayah Allah adalah sekumpulan anak muda yang dulunya membawa muzik Pop R&B kini berubah angin dan membentuk Kumpulan Al Mawlid.
Dianggotai oleh Saiful Amir Abdul Wahab (Pot Innuendo), Abdullah Ahmad (Lah VE), Zafri Nazarudin (Zaf VE), Azan Addin Abdul Wahab (Azan Ruffedge), Amer Munawer Yusoff (Amer Ruffedge), Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir (Taj Innuendo) dan Syed Mohammad Syed Abdullah (Mode Ruffedge) telah dipertemukan ketika menghadiri kuliah agama di Surau Al Hidayah di AU3 Keramat lantas membentuk kumpulan berbentuk dakwah ini.







16 - Irma Hasmie


Seterusnya bekas kekasih Nabil si Raja Lawak cik Irma Hasmie. Artis yang sedang membintangi cerita Kasih Alia yang aku turut tonton di TV3 ini tampak begitu ayu setelah memilih bertudung sebagai langkah penghijrahan pertama.


Semoga makin ramai lagi dan kalau boleh semua artis akan mengikut jejak-jejak yang sangat bagus ini, untuk kebaikan bersama. Biar Malaysia menjadi contoh kepada dunia, mempunyai artis-artis yang islamik dan pandai menutup auratnya, agar masyarakat tidak punah ranah dan bergelumang dengan dosa dengan mendedah tubuh sana-sini, na'uzubillah.

credit to unikversiti.blogspot.com



Artikel Blog Lain