Adat-adat di Malaysia
Adat bagi setiap kaum di Malaysia pastinya dilihat dari sistem nilai yang berbeza. Martabat adat itu sendiri berbeza kedudukanya bagi masyarakat Malaysia pada hari ini. Bagi masyarakat Minangkabau sebagai contoh, adat dianggap sebagai sebuah tradisi lisan yang tinggi sekali martabatnya dalam kehidupan mereka. Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Malaysia oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke-14 Masihi. Di Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan yang majoritinya adalah keturunan Melayu Minangkabau. Mereka itu terbahagi kepada beberapa puak yang dipanggil suku. Perlantikan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah satu-satunya warisan Adat Perpatih. Begitu juga dengan perlantikan Undang Luak yang empat iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu semuanya adalah berteraskan kepada Adat Perpatih. Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat itu. Adat Perpatih lebih mengutamakan golongan perempuan. Hal ini dapat dilihat dalam soal-soal pembahagian harta benda dan jurai keturunan. Ini bukan bermakna lelaki lebih rendah tarafnya daripada perempuan tetapi mereka lebih suka mengembara atau merantau untuk mencari penghidupan baru yang lebih baik. Maka, golongan wanita mesti dibekalkan dengan harta benda sebagai nafkah. Selain itu, selepas berkahwin, orang lelaki mesti meninggalkan kaumnya dan mengikut kaum isterinya. Walaupun adat ini mengutamakan golongan perempuan, tetapi dari segi pentadbiran, lelaki merupakan pemegang tampuk pemerintah tertinggi seperti jawatan Yamtuan. Perlantikan pemimpin, misalnya, banyak yang menyamakan sistem Adat Perpatih dengan amalan demokrasi. Contohnya ialah perlantikan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di mana bukannya melalui keturunan dari bapa ke anak tetapi adalah melalui pemilihan oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu. Empat undang ini akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari raja Pagar Ruyung untuk menjadi Yang DiPertuan. Undang Luak pula dilantik oleh Dato'-Dato' Lembaga di Luak masing-masing. Dato' Lembaga ini pula adalah pemimpin-pemimpin yang dilantik secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak. Oleh itu secara keseluruhannya kuasa melantik pemimpin itu sebenarnya berada di tangan rakyat biasa. Inilah satu sistem Adat Perpatih yang ada persamaan dengan demokrasi.
Adat Temenggung pula diamalkan di semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan. Adat Temenggung disusun oleh Datuk Ketemenggungan, iaitu abang tiri Datuk Perpatih Nan Sebatang di Palembang. Adat ini dibawa masuk ke Melaka pada awal abad ke-15. Dari Melaka, Adat Temenggung disebar ke negeri-negeri Melayu yang lain dengan perkembangan Empayar Melaka. Adat Temenggung mengiktirafkan lelaki menjadi ketua keluarga. Maka, adat ini dikatakan lebih mementingkan pihak lelaki. Dalam hal perwarisan harta, lelaki yang mewarisi harta iaitu dari ayah kepada anak lelaki. Adat Temenggung juga mengkehendaki seseorang isteri tinggal bersama dengan keluarga suaminya. Selain itu, Adat Temenggung menganggap kedua-dua pihak keluarga sama penting. Perkahwinan diantara dua orang sepupu dibenarkan asalkan kedua-dua orang tua tidak mempunyai pertalian darah. Selain itu, undang-undang didalam Adat Temenggung adalah sama seperti Adat Perpatih iaitu berbentuk peribahasa, bidalan dan sebagainya. Tetapi undang-undangnya bersifat kekerasan. Setiap orang yang melakukan kesalahan, dia akan di hukum dengan hukuman berat. Sebagai contoh, seseorang yang membunuh akan dijatuhkan hukuman mati. Mereka percaya bahawa hanya menggunakan kekerasan sahaja dapat mengurangkan niat seseorang untuk melakukan kesalahan. Adat Temenggung juga mempunyai unsur autokratik. Adat Temenggung mengutamakan kedudukan istimewa dan kebesaran pemerintah. Ia bukan sahaja memberi kuasa kepada pemerintah tetapi juga kepada para pembesar. Oleh itu, golongan pemerintah mempunyai kuasa berlebihan. Dengan itu, adat ini dikatakan bersifat autokrasi dimana semua kuasa adalah terletak dalam tangan pemerintah dan pembesar.
Masyarakat Cina di Malaysia juga seperti masyarakat-masyarakat lain yang mempunyai adat dan cara hidupnya sendiri. Secara teorinya, dapat kita katakan bahawa adat kaum Cina di Malaysia ialah warisan daripada negara China. Ini memandangkan berlaku proses kemasukan besar-besaran kaum Cina ke Tanah Melayu pada awal abad ke 19 dahulu, kemasukan kaum Cina ke Tanah Melayu ketika itu secara tidak langsung telah membawa sekali segala adat istiadat mereka. Kaum Cina di Malaysia mempunyai beberapa pegangan dalam menjalankan proses kehidupan mereka, seperti juga lain-lain kaum, masyarakat Cina juga mempunyai adat tentang perkahwinan, kematian, dan sebagainya. Lazimnya adat istiadat Cina dipengaruhi oleh unsur Buddha yang menjadi pegangan kebanyakan ahli dalam masyarakat Cina. Falsafah lampau juga banyak mempengaruhi adat istiadat Cina sehingga menyebabkan mereka mempunyai pelbagai acara-acara dan pantang larang yang berorientasikan adat. Seperti juga masyarakat majoriti Melayu dan Islam, masyarakat Cina juga mementingkan nasab keluarga dari sebelah lelaki. Nama pangkal seseorang iaitu nama keluarga didalam masyarakat Cina ialah nama keluarga disebelah lelaki. Sebagai contoh, nama Dato’ Lee Chong Wei dan Prof. Wang Gunwu, nama pangkal mereka iaitu Lee dan Wang itu ialah nama warisan keluarga ayah mereka yakni nama keluarga sebelah lelaki. Ini merupakan salah satu aspek adat yang menjadi amalan masyarakat Cina. Kaum lelaki Cina juga seperti kebanyakan lelaki bangsa lain, dilantik menjadi ketua keluarga dan merupakan waris utama pusaka keluarga. Kepentingan meneruskan kesinambungan keluarga didalam masyarakat Cina menyebabkan perkahwinan seorang lelaki didalam keluarga adalah amat penting. Secara tradisi, perkahwinan tersebut akan mengikuti beberapa upacara yang bermula dengan merisik oleh seorang perantara hinggalah perkahwinan. Namun, pada zaman yang lebih moden ini, hanya pendaftaran menurut undang-undang saja yang diperlukan dan akan diadakan majlis keraian yang mewah di restoran. Kelahiran anak mengikut adat dan pantang larang Cina ialah sangat penting. Justeru kesihatan si ibu dan kandunganya adalah amat dititik beratkan. Si ibu digalakkan tidur dan makan dengan baik, membaca buku yang baik dan melihat benda-benda yang cantik. Apabila anak itu dilahirkan, anak itu dibersihkan dan akan dibedung. Pada hari ke 29 kelahiran, rambut si anak dicukur dan rambutnya dibungkus dengan kain merah. Rambut itu akan digantung berdekatan bantalnya selama 100 hari dan kemudian rambut itu dibuang ke sungai. Anak itu diharap akan menjadi berani pada masa hayatnya. Setelah sebulan kelahiran anak itu, upacara Bulan Penuh akan diadakan dengan meriah. Ulang tahun kelahiran seseorang kaun Cina tidak akan diperingati, kecuali diperingati oleh anaknya apabila seseorang itu sudah tua dan ianya akan diadakan secara besar-besaran. Kematian ibu bapa dalam masyarakat Cina adalah upacara yang amat berharga dan mahal kosnya yang terpaksa ditanggung oleh anak-anak. Keranda yang baik, tanah perkuburan yang baik dan pakaian kematian yang bagus pastinya memerlukan belanja besar. Bagi masyarakat Cina inilah hadiah terbaik seorang anak kepada ibu bapanya. Jika si anak tidak mampu, masyarakat sekeliling pasti akan membantu. Anak lelaki yang tua memainkan peranan utama memastikan upacara mandi, memberi makan, kafan dan bertanggungjawab memasukkan mayat ke dalam keranda seperti yang dinasihatkan oleh seorang tukang tilik. Keranda tersebut akan dijaga hingga beberapa hari tertentu untuk lawatan dan sembahyang seterusnya akan dikebumikan pada satu hari yang ganjil. Didalam masyarakat Cina, upacara pengkebumian adalah acara yang amat meriah dengan dipenuhi dengan peraturan dan adat tertentu. Selepas pengkebumian mayat, akan diadakan pelbagai upacara lain terutama adat pembakaran colok dan alatan yang diperbuat daripada kertas sebagai bekalan hidup si mati di alam akhirat. Upacara ini biasanya akan diketuai oleh seorang Sami yang diamanahkan oleh keluarga si mati. Oleh kerana adat kematian ini dianggap terlalu penting dalam masyarakat Cina, banyak kepercayaan dan pantang larang mesti diperhatikan dan dipatuhi apabila berlaku sesuatu kematian. Sepanjang tahun dalam kehidupan masyarakat Cina, banyak sekali perayaan yang diikuti dan diraikan oleh orang Cina. Setiap bulan, pasti ada kegiatan dan upacara tertentu serta dewanya yang berlainan untuk dipuja. Adat resam masyarakat Cina amat banyak dan ianya akan diamalkan mengikut perubahan musim pertanian dan negeri China. Antara upacara-upacara yang diraikan masyarakat Cina selain dari Tahun Baru Cina dan Chap Goh Meh ialah adat Ulang Tahun Kematian, adat Puja Kampung, adat Mencuci Kubur, Sembahyang Hajat dan Menjamu Keramat. Adat-adat ini tampak seumpama perbuatan-perbuatan yang menjadi amalan masyarakat Melayu. Namun ianya pastilah berbeza dan dijalankan dengan cara dan matlamat yang berbeza bagi mewujudkan identiti masyarakat Cina yang tersendiri.
Kaum India juga bukanlah penduduk asal Malaysia. Kemasukan masyarakat India ke Tanah Melayu sudah berlaku sejak sekian lama. Samada kemasukan itu suatu bentuk penghijrahan atau sekadar merantau untuk mencari rezeki, hakikatnya kemasukan ini sudah berlaku sejak sekian lama. Apabila Melaka muncul sebagai pusat perdagangan serantau menjelang abad ke 15,masyarakat India yang terdiri daripada golongan pedagang, sami Buddha dan Hindu, tukang dan sebagainya tidak terlepas pandang untuk memasuki Tanah Melayu dengan pelbagai kepentingan. Kemasukan mereka ini juga sudah pasti membawa bentuk adat istiadat mereka yang tersendiri. Masyarakat India biasanya mengikuti adat resam yang berteraskan agama Hindu meskipun ramai orang India pada hari ini beragama lain. Seperti kaum-kaum lain di Malaysia, mereka juga mempunyai budaya berkunjung ke rumah rakan dan sanak saudara serta turut bersedia menerima kunjungan dari jiran tetangga. Didalam masyarakat India, jika kita ingin berkunjung kerumah tetamu, amatlah digalakkan membawa buah tangan sebagai tanda terima kasih kepada tuan rumah. Mereka juga biasanya melangkah kedalam rumah dengan kaki kanan dahulu. Kaum India juga mengamalkan adat bertegur sapa sesama sendiri. Mereka menyapa dengan sebutan ‘vanakam’ dan sentiasa bertanyakan tentang kesihatan, kerja, perniagaan atau sebagainya antara rakan dan sanak saudara mereka. Apabila tetamu bertandang ke rumah mereka, tetamu sentiasa dijamu dengan minuman atau makanan dan tetamu mesti sudi menerima hidangan dengan baik sebagai tanda hormat kepada tuan rumah. Didalam masyarakat India juga, jika menerima sesuatu, dimestikan menggunakan tangan kanan sebagai tanda kebaikan dan kesyukuran. Keluarga amat penting dalam masyarakat India. Meskipun bapa memainkan peranan utama tetapi ibu adalah institusi yang paling dihormati dan dianggap mulia, ‘Ibu adalah umpama Tuhan’ dan anak perempuan juga dipanggil ‘amma’ seperti seorang ibu didalam tradisi India. Oleh itu, penjagaan anak perempuan amat dititik beratkan terutama ketika mereka masih dara. Seorang suami pula didalam masyarakat India adalah ‘Tuhan bagi isterinya’ dan mesti sentiasa dihormati. Oleh kerana itu, proses perkahwinan India mesti ditentukan oleh seorang ketua agama yang membuat tilikan masa bertuah serta keserasian pasangan yang akan berkahwin. Masa perkahwinan yang dianggap bertuah amatlah penting bagi menjalankan segala acara dan upacara untuk mengelakkan berlakunya malapetaka ataupun nasib buruk. Untuk mengelakkan dari keadaan buruk, maka biasanya perkahwinan dilakukan pada waktu tengah malam atau waktu matahari akan naik. Upacara perkahwinan dilakukan di rumah pengantin perempuan ataupun di kuil oleh seorang ketua agama. Pada satu kawasan empat segi di kuil itu, sami akan menyalakan api dan menyembah Tuhan untuk menyaksikan perkahwinan itu. Seperti juga adat kaum-kaum lain, kelahiran seorang bayi adalah acara yang penting kepada keluarga dan masyarakat India. Semua saudara mara akan dimaklumkan apabila lahirnya seorang bayi. Selama 16 hari selepas kelahiran bayi, ahli keluarga tidak boleh melakukan sebarang upacara agama. Pada hari ke 16 kelahiran, upacara penting diadakan untuk menamakan anak. Ketika ini rumah dan buaian akan dihias cantik dan jiran-jiran dijemput bersama meraikan upacara tersebut. Dalam aspek pemberian nama anak, nama seorang anak diperolehi dari almanak Hindu mengikuti bintang dan hari kelahirannya. Seorang ketua agama akan dirujuk untuk mencari nama bertuah mengikuti aksara bintangnya. Ketika menamakan itu, bayi dipangku oleh orang tua satu persatu sambil dinyanyikan doa agama oleh kaum wanita mereka. Dari aspek perayaan, terdapat banyak perayaan di kalangan masyarakat India. Di sepanjang tahun, mengikut kalendar Hindu mereka akan mengadakan pelbagai upacara sembahyang berkaitan musim dan perubahan tahun seperti di negeri India. Masyarakat Hindu akan bersembahyang sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, tengahari dan petang di tempat tertentu di rumah. Mereka juga pergi ke kuil untuk bersembahyang ataupun mengadakan upacara agama. Perayaan kaum India diadakan dengan mengikuti peredaran bulan dan setiap bulan ditandakan oleh bulan mengembang dan bulan menirus. Terdapat 21 jenis perayaan didalam adat masyarakat India. Perayaan-perayaan itu termasuklah Deepavali, Thaipusam dan Thaiponggal. Deepavali ialah ‘perayaan cahaya’ sebagai tanda kejayaan ‘cahaya’ ke atas ‘gelap’ atau ‘ilmu’ ke atas ‘kejahilan’ ataupun ‘keadilan’ mengatasi ‘kezaliman’. Inilah perayaan paling utama bagi masyarakat India. Pada hari ini sembahyang akan diadakan terutama untuk mendoakan roh keluarga yang sudah meninggal dunia. Thaipusam pula adalah perayaan bulan “Thai” untuk membersihkan diri dengan menggunakan susu, madu dan bunga di kuil dan membuat persembahan kepada Dewa Subramaniam. Pada masa perayaan ini diadakan, ‘kavadi’ yang berisi buah-buahan, susu dan akan dibawa pelbagai persembahan. Thaiponggal pula merupakan perayaan menuai dan ‘masak padi baru’ serta ‘memuja semangat padi’. Ia adalah masa yang amat baik untuk mangadakan perkahwinan dan upacara lain. Rumah akan dibersihkan dan dihiasi, ‘ponggal’ pula akan dimasak di dalam periuk baru untuk dipersembahkan kepada Dewa Matahari dan juga disedekahkan kepada jiran tetangga.
Sarawak yang terkenal dengan nama jolokannya Negeri Bumi Kenyalang mempunyai rakyat yang terdiri dari pelbagai suku kaum. Terdapat kira-kira 30 kumpulan etnik di Sarawak. Kaum Iban merupakan suku kaum yang terbesar di Sarawak, diikuti oleh kaum Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau dan kaum-kaum etnik yang lain. Sebagai sebuah negeri yang mempunyai pelbagai bangsa dan suku kaum, sudah pasti terdapat pelbagai kebudayaan dan adat resam yang diamalkan. Bagi masyarakat Sarawak, adat resam merupakan satu warisan tradisi yang begitu dititikberatkan dan telah sebati dengan kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh, dalam masyarakat Iban yang merupakan golongan majoriti di negeri Sarawak, terdapat pelbagai suku kaum masyarakat Iban seperti Balau, Sebuyau, Lemanak dan lain-lain. Masyarakat Iban masih kuat berpegang dengan identiti tradisi mereka di samping mengamalkan pelbagai jenis adat resam yang unik. Dari segi geografi, kebanyakan masyarakat Iban mendiami beberapa kawasan pedalaman yang tertumpu di tengah-tengah negeri Sarawak dan sebilangan kecilnya menetap di kawasan-kawasan bandar. Antara adat resam atau kebudayaan yang masih diamalkan oleh masyarakat Iban ialah dalam aspek kelahiran. Kaum Iban banyak mengamalkan pantang larang dan adat-adat tertentu dalam aspek kelahiran. Peranan bidan juga sangat penting semasa membuat persiapan menyambut kelahiran dan juga selepas bersalin. Adat-adat tersebut dapat dilihat dari peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir. Dalam tempoh tujuh bulan sewaktu mengandung, wanita Iban dan suaminya dikenakan pelbagai pantang larang, antaranya ialah dilarang menggali parit di kawasan padi atau di mana-mana sahaja. Mereka juga dilarang memotong pokok yang menjalar di atas tanah, kerana dibimbangi akan menghalang pendarahan yang berterusan semasa melahirkan anak. Wanita yang mengandung juga dilarang menuang minyak ke atas tapak tangan untuk disapu pada rambut supaya bayi yang bakal lahir tidak akan bernanah. Selain itu, suami isteri juga tidak boleh mengetuk telur menggunakan pisau atau kayu kerana dikhuatiri bayi itu akan cacat penglihatan. Mereka juga tidak boleh menanam pokok pisang supaya si bayi tidak berkepala besar. Disamping itu juga mereka tidak boleh memikul batu-bata tajam di dalam raga kerana dikhuatiri bayi akan lumpuh. Mereka juga tidak boleh membawa kura-kura ke dalam bilik supaya bayi tidak tersekat di dalam rahim semasa dilahirkan. Dalam masyarakat Iban, sebaik sahaja bayi dilahirkan, buluh yang dipanggil Pontong akan dipalu untuk memanggil jiran-jiran. Selain pontong, tembakan senapang juga turut digunakan. Sejurus selepas bayi dilahirkan, tali pusatnya akan segera dipotong dan bayi akan dimandikan. Seterusnya bayi dibedung dengan kain Pua Kumbu atau selimut yang ditenun cantik. Ketika bersalin, si isteri akan dibantu oleh seorang bidan dan dia akan memastikan ibu dan bayi dalam keadaan baik dan teratur. Seterusnya badan si ibu akan diurut oleh bidan bertujuan untuk menghilangkan rasa sengal-sengal badan akibat bersalin tadi. Selepas diurut, badan si ibu akan diusap pula dengan ubat yang diperbuat daripada halia dan entemu yang dibalut dengan tekalung, sejenis kain yang dibuat daripada kulit kayu. Wanita Iban akan berpantang selama tiga puluh hari selepas melahirkan anak. Dalam tempoh berpantang itu, ibu akan diberi makan nasi dan ikan salai atau ikan kering yang kadang-kadang dicampur dengan pucuk paku dan buah pulur. Semua makanan tersebut pula perlu dicampurkan dengan halia atau air rebusan halia supaya dapat memanaskan badan. Selepas bersalin, wanita kaum Iban perlu menjalani satu amalan yang dipanggil berdiang atau bersalai, di mana si ibu perlu duduk dekat dengan unggun api. Kayu yang digunakan untuk unggun api ini mestilah dari jenis kayu yang baik. Antara jenis kayu yang lazim digunkan ialah kayu malam, manding atau langsat. Kayu-kayu ini juga dikatakan mampu menyembuhkan penyakit ibu yang baru bersalin. Jika kayu yang digunakan untuk berdiang tersebut basah atau dari jenis beracun, dibimbangi asapnya akan memudaratkan si ibu dan bayi. Si ibu perlu berdiang atau bersalai selama empat puluh satu hari. Dalam tempoh itu, si ibu perlu menggariskan kapur pada tiang atau dinding rumah untuk menghitung hari kelahiran. Kesihatan si ibu dianggap pulih seperti sediakala apabila selesai menjalani adat-adat ini. Adat melihat matahari atau merasa garam dijalankan apabila bayi sudah tanggal pusat iaitu ketika bayi berusia empat hari. Bayi tersebut akan dibawa oleh nenek atau saudara perempuannya ke tanju atau luar anjung untuk melihat matahari sambil mulut bayi tersebut dirasakan dengan garam. Pada masa itu juga, doa atau mentera dibacakan agar kesihatan bayi sentiasa terpelihara. Kaum Iban begitu mementingkan adat memberi nama kepada anak-anak mereka yang baru lahir. Ini kerana, nama yang baik dan elok mempunyai kesan ke atas masa hadapan kanak-kanak tersebut. Lazimnya sebelum memberi nama yang rasmi, anak-anak kaum Iban akan diberi nama timangan. Bayi yang baru lahir itu seterusnya akan diberi nama sempena nama salah seorang daripada nenek moyangnya yang pernah berjasa dan handal. Tujuannya supaya bayi itu akan mewarisi jasa serta mengikut jejak langkah nenek moyangnya itu. Seterusnya upacara memilih nama akan dijalankan di mana kepalan nasi akan diletak di atas papan yang tertulis nama-nama yang dipilih itu. Kemudian seekor ayam akan dilepaskan untuk membuat pilihan dan ini dikenali sebagai Manok Tawai. Kepalan nasi yang dipatuk oleh ayam tersebut akan menjadi pilihan untuk menamakan bayi tersebut. Kemudian barulah nama itu dihebohkan kepada saudara mara yang terdekat. Upacara mandi sungai dijalankan selepas bayi diberi nama. Ia dijalankan semasa bayi itu berumur satu bulan dan adat ini dijalankan bagi membiasakan bayi dengan air sungai. Permulaannya, jiran-jiran akan dimaklumkan untuk meraikan adat tersebut dengan meriah. Dua orang lelaki akan membawa seekor ayam dan panji-panji. Kebiasaannya mereka ini ditugaskan membaca mentera dan menetak air sungai. Dua orang perempuan pula akan mengiringi lelaki tersebut. Seorang akan membawa ancak dan seorang lagi mengendong bayi. Bayi tersebut dipakaikan kain pua belantan dan kumpulan itu akan diikuti pula oleh orang ramai. Ketika ini doa atau mentera dibaca meminta supaya bayi itu menjadi orang yang sempurna dan berguna. Sebaik sahaja mentera dibaca, dua orang lelaki tadi akan menetak air dan ayam disembelih. Nama bayi juga akan diumumkan ketika itu. Bagi bayi lelaki, sayap ayam akan diikat dengan benang merah yang digantung pada galah berayang. Manakala bagi bayi perempuan pula, benang tersebut digantung pada galah laletan. Selepas bayi dimandikan, dia akan dibawa pulang sambil gendang dipalu. Bayi itu akan dipangku dan pemangku duduk di atas tawak atau gong yang diletakkan di tengah-tengah ruai. Kemudian, bayi dan pemangkunya diselimutkan dengan kain pua kumbu dan disiram dengan air rendaman batu penawar burung, cincin emas atau wang ringgit lama. Selepas upacara mandi selesai, tetamu-tetamu akan dijamu dengan air tuak dan makanan yang ringkas. Upacara ini diakhiri dengan kenduri mandi anak iaitu menjamu tetamu dan ahli rumah panjang dengan makanan yang lebih banyak. Kanak-kanak lelaki kaum Iban akan berkhatan ketika berumur sepuluh tahun. Berkhatan lazimnya dilakukan secara senyap dan tidak disertai dengan kenduri. Kanak-kanak yang tidak berkhatan akan digelar sebagai lelaki kulup di kalangan kaum Iban.
Sabah yang dikenali dengan nama Negeri Di Bawah Bayu merupakan sebuah negeri yang unik dan terkenal dengan kepelbagaian kebudayaan suku kaumnya. Terdapat kira-kira 2.5 juta penduduk Sabah merangkumi lebih daripada 30 suku kaum dan kira-kira 80 dialek bahasa. Penduduknya terdiri daripada kaum Kadazan atau Dusun, Bajau, Murut, Kelabit, Rungus dan lain-lain. Ciri-ciri kebudayaan negeri Sabah amat unik kerana kepelbagaian suku kaum di sini. Sebagai contoh, dalam masyarakat Kadazan yang dahulunya dikenali sebagai Orang Dusun merupakan penduduk majoriti negeri Sabah. Masyarakat Kadazan begitu berpegang teguh terhadap adat resam warisan nenek moyang mereka. Keunikan masyarakat ini terserlah melalui kebudayaan dan adat resam yang diamalkan. Kebanyakan daripada amalan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan animisme. Ini jelas terlihat melalui adat resam dan kepercayaan yang diamalkan dalam aspek kelahiran, perkahwinan dan kematian. Sebagai contoh dapat dilihat dalam upacara perkahwinan. Kebanyakan orang Kadazan lazimnya berkahwin ketika umur mereka meningkat 16 tahun atau selepas 21 tahun. Ada juga yang berkahwin melalui perjanjian yang dipersetujui oleh ibu bapa kedua-dua pihak semasa mereka masih kecil lagi. Sebelum sesuatu upacara perkahwinan dilangsungkan, keluarga kedua-dua pihak akan mengatur segala persiapan yang diperlukan. Dalam hal ini perkara yang diutamakan adalah tentang pemberian sebentuk cincin. Cincin ini menjadi tanda peminangan daripada pihak lelaki. Sebelum peminangan dibuat, pihak lelaki melantik seorang tua yang bukan terdiri daripada keluarga terdekat lelaki berkenaan. Segala urusan merisik dan juga pinang-meminang ini mesti dibuat pada waktu pagi. Waktu petang dan malam tidak dibenarkan sama sekali. Wakil pihak lelaki pergi merisik kepada ibu bapa perempuan yang hendak dipinang itu atau pengganti ibu bapa jika ibu bapa perempuan itu sudah tidak ada. Risikan pertama dilakukan untuk mengetahui sama ada perempuan berada dalam proses risikan orang lain atau dia sedang dalam pertunangan. Kalau perempuan itu dalam pertunangan, risikan ifu dihentikan serta-merta. Kalau perempuan itu didapati sedang dalam proses risikan daripada lelaki lain, risikan itu ditangguhkan buat sementara, sehingga keputusan muktamad diperoleh daripada risikan terdahulu itu. Jika risikan yang terdahulu bertukar ke arah pertunangan, maka risikan yang kemudian itu terus dibatalkan. Tetapi jika gagal, risikan yang kemudian itu boleh diteruskan. Risikan ini dibuat berulang kali, peringkat demi peringkat dan adakalanya memakan masa sehingga berhari-hari, malah ada yang sampai berbulan-bulan. Ini disebabkan banyak perkara yang mesti diketahui dengan jelas oleh ibu bapa perempuan terhadap keluarga yang merisik anaknya. Antaranya ialah susunan keluarga, kemampuan, pekerjaan dan seumpamanya. Apabila ibu bapa perempuan mendapati risikan itu boleh dipertimbangkan, mereka akan menentukan hari bagi wakil pihak lelaki datang membawa cincin pusaka (dibuat daripada tembaga). Cincin itu juga digelar 'cincin menanti mimpi'. Cincin itu mesti dibawa pada waktu pagi. Apabila ibu bapa perempuan sudah menerima cincin itu, mereka mesti membersihkan diri pada hari itu juga. Mereka tidak boleh makan atau minum apa sahaja yang boleh memabukkan. Cincin itu diletakkan di bawah bantal ibu bapa perempuan itu. Pada malam tersebut mereka mesti berada datam keadaan 'bersih', iaitu tidak mabuk. Pada malam itu juga, salah seorang daripada suami isteri itu atau kedua-duanya sekali akan mendapat mimpi. Adakalanya mereka berlainan mimpi, adakalanya hampir serupa dan adakalanya benar-benar serupa. Biasanya mimpi itu mempunyai tiga keadaan. Pertama, mimpi baik, ini bererti, risikan itu boleh diteruskan kepada proses peminangan. Kedua, mimpi buruk. Tetapi mimpi buruk itu dapat dibaiki atau diperbetulkan. lni bererti, proses pertunangan boleh diuruskan dengan syarat pihak lelaki harus membayar sugit kepanasan mimpi kepada orang yang bermimpi itu. Contoh mimpi yang dimaksudkan ialah seperti bermimpi tentang barang-barang yang pecah seperti periuk atau pinggan-mangkuk. Kemudiannya barang-barang yang pecah itu dibaiki oleh pihak lelaki. Ketiga, mimpi buruk. Contoh mimpi buruk ialah bermimpi akan periuk belanga, kuali, pinggan mangkuk, tempayan atau apa sahaja barang kegunaan hanian yang telah pecah. Ini bererti proses risikan itu berhenti setakat itu sahaja dan perkahwinan tidak boleh dilangsungkan. Hari berikutnya, ibu bapa perempuan tersebut memanggil semua keluarga terdekatnya bermesyuarat untuk membincangkan mimpi mereka. Jenis dan sifat mimpi diterangkan sejelas-jelasnya. Di dalam mesyuarat itulah mereka menganalisa baik dan buruknya mimpi itu. Setelah selesai mesyuarat keluarga, ibu bapa perempuan memanggil wakil pihak lelaki untuk memberitahu tentang keputusan mimpi mereka. Ketika itu juga cincin yang digunakan untuk menanti mimpi tadi dipulangkan. Waktu itu, waki lelaki diberitahu sama ada boleh bertunang dengan membayar sugit kepanasan mimpi kerana mimpi buruk boleh dibaiki ataupun tidak boleh bertunang kerana mimpi buruk. Jika mimpi baik, proses pertunangan diteruskan. Perundingan antara pihak lelaki dengan ibu bapa pihak perempuan hanya berkisar pada syarat-syarat hantaran perkahwinan, menentukan tarikh perkahwinan dan kadar besar atau lamanya pesta perkahwinan itu. Pertunangan yang telah ditetapkan tidak boleh diingkari. Jika tidak, pihak yang ingkar terpaksa membayar seluruh atau separuh hantaran yang sudah ditentukan ketika mengikat pertunangan dahulu. Bayaran ini dibuat di depan pengadilan adat. Hantaran kahwin biasanya terdiri daripada pelbagai jenis makanan, alat untuk adat istiadat dan barang untuk memperteguhkan semangat. Barang hantaran untuk memperteguhkan semangat ini dikenali sebagai tasor. Tasor ialah tempat pinang yang diperbuat danipada tembaga atau perak. Tasor ini dibawa sendiri oleh pengantin pada hari penrkahwinan. Alat untuk adat istiadat pula dinamakan tinokol iaitu terdiri daripada canang, gong dan tajau (tempayan). Jumlahnya menurut darjat orang yang berkahwin itu. Barangan ini juga dibawa pada hari perkahwinan. Jenis makanan pula ialah babi atau kerbau dan jumlahnya bergantung kepada kemampuan keluarga tersebut. Binatang tersebut diberikan kepada pihak perempuan dua atau tiga hari sebelum berlangsungnya hari perkahwinan. lni kerana binatang itu akan disembelih dan dimasak untuk upacara makan di rumah pengantin perempuan nanti. Sebuah tajau berisi tapai beras yang dinamakan lihing, mesti dibawa pada hari perkahwinan. Lihing ialah tapai yang sudah menjadi arak. Lihing diminum beramai-ramai dalam pesta kahwin di rumah pengantin perempuan. Selain daripada empat hantaran yang menjadi asas bagi orang Kadazan, terdapat beberapa barangan lain yang turut dibawa untuk memperlengkap dan memperindahkan majlis hantaran itu. Ini terserah kepada janji yang dibuat semasa majlis pertunangan, juga berdasarkan kemampuan kedua-dua belah pihak. Serendah-rendah darjat perkahwinan itu mesti dibuat dengan upacara adat, pemujaan agama, pesta bersukaria dan makan minum. Sesingkat-singkat pesta pula adalah antara dua atau tiga hari di rumah pengantin perempuan. Bagi mereka yang berkemampuan, majlis dibuat selama tujuh hingga empat belas hari. Walaupun perkahwinan pasangan suami isteri itu sudah sah di sisi agama dan kepercayaan, mereka masih belum boleh bersatu pada hari dan malam pertama. Paling cepat mereka hanya boleh bersatu pada malam kedua, malah ada yang mengambil masa selama seminggu atau dua minggu berikutnya. Kesemuanya ini bergantung kepada besar atau lamanya majlis perkahwinan itu diadakan. Untuk membolehkan pengantin ni bersatu, satu upacara khas dibuat. Pasangan pengantin tersebut dikehendaki makan di dalam pinggan dan mangkuk yang sama. Upacara ini dihadiri oleh keluarga kedua-dua pihak. Ibu bapa pengantin lelaki tidak boleh sama sekali hadir di rumah pengantin perempuan sebelum pasangan itu sah bersatu. Hantaran kahwin biasanya terdiri daripada pelbagai jenis makanan, alat untuk adat istiadat dan barang untuk memperteguhkan semangat. Barang hantaran untuk memperteguhkan semangat ini dikenali sebagai tasor. Tasor ialah tempat pinang yang diperbuat daripada tembaga atau perak. Tasor ini dibawa sendiri oleh pengantin pada hari perkahwinan. Alat untuk adat istiadat pula dinamakan 'tinokol' iaitu terdiri daripada canang, gong dan tajau (tempayan). Jumlahnya menurut darjat orang yang berkahwin itu. Barangan ini juga dibawa pada hari perkahwinan. Jenis makanan pula ialah babi atau kerbau dan jumlahnya bergantung kepada kemampuan keluarga tersebut. Binatang tersebut diberikan kepada pihak perempuan dua atau tiga hari sebelum berlangsungnya hari perkahwinan. lni kerana binatang itu akan disembelih dan dimasak untuk upacara makan di rumah pengantin perempuan nanti. Sebuah tajau berisi tapai beras yang dinamakan lihing, mesti dibawa pada hari perkahwinan. Lihing ialah tapai yang sudah menjadi arak. Lihing diminum beramai-ramai dalam pesta kahwin di rumah pengantin perempuan. Selain daripada empat hantaran yang menjadi asas bagi orang Kadazan, terdapat beberapa barangan lain yang turut dibawa untuk memperlengkap dan memperindahkan majlis hantaran itu. Ini terserah kepada janji yang dibuat semasa majlis pertunangan, juga berdasarkan kemampuan kedua-dua belah pihak. Serendah-rendah darjat perkahwinan itu mesti dibuat dengan upacara adat, pemujaan agama, pesta bersukaria dan makan minum. Sesingkat-singkat pesta pula adalah antara dua atau tiga hari di rumah pengantin perempuan. Bagi mereka yang berkemampuan, majlis dibuat selama tujuh hingga empat belas hari. Walaupun perkahwinan pasangan suami isteri itu sudah sah di sisi agama dan kepercayaan, mereka masih belum boleh bersatu pada hari dan malam pertama. Paling cepat mereka hanya boleh bersatu pada malam kedua, malah ada yang mengambil masa selama seminggu atau dua minggu berikutnya. Kesemuanya ini bergantung kepada besar atau lamanya majlis perkahwinan itu diadakan. Untuk membolehkan pengantin ni bersatu, satu upacara khas dibuat. Pasangan pengantin tersebut dikehendaki makan di dalam pinggan dan mangkuk yang sama. Upacara ini dihadiri oleh keluarga kedua-dua pihak. Ibu bapa pengantin lelaki tidak boleh sama sekali hadir di rumah pengantin perempuan sebelum pasangan itu sah bersatu. Majlis perkahwinan orang Kadazan memakan masa selama tiga hari. Perkara yang paling penting dalam upacara perkahwinan ialah miohon pinisi iaitu upacara menukar gumpalan nasi. Untuk memulakan upacara ini, pengantin lelaki dan perempuan duduk berhadapan di tengah-tengah bulatan gadis-gadis yang berpakaian tradisional berwarna hitam. Di hadapan mereka terletak seperiuk nasi dan kedua-dua pengantin akan menggenggam nasi dan periuk tersebut untuk dijadikan gumpalan sebesar telur ayam. Kemudian kedua-duanya akan bertukar-tukar gumpalan nasi itu, lalu dimakan. Upacara miohon pinisi merupakan nazar perkahwinan menurut cara tradisional. Setelah upacara ini dilakukan, makanan dan minuman pun dihidangkan kepada para tetamu yang hadir. Gong dibunyikan semula, diikuti dengan pertunjukan tarian sumazau.